Sejarah Penubuhan PKG Lawas

1.1         SEJARAH PENUBUHAN

Pusat Kegiatan Guru (PKG) ditubuhkan seawal 1960-an. Pada awal penubuhannya, ianya dikenali sebagai Pusat Media Daerah (PMD). Pada tahun 1986, Pusat ini diberi nama baru oleh pihak Kementerian Pendidikan iaitu Pusat Sumber Pendidikan Daerah (PSPD). Pada 14 Ogos 1990, pusat ini dikenali sebagai Pusat Kegiatan Guru sehingga hari ini.
Matlamat penubuhan PKG adalah untuk meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah-sekolah, melalui peningkatan taraf profesionalisme guru-guru berdasarkan penghayatan Falsafah Pendidikan Negara. PKG akan merealisasikan potensi dan individualiti guru, sehingga dapat melaksanakan amanah dengan baik dalam setiap peringkat dan bidang kehidupan bagi menghadapi cabaran Wawasan 2020 selaras dengan dasar pembangunan negara kita.
Peranan yang dimainkan oleh PKG adalah sebagai sebuah pusat kegiatan profesional dan kurikulum serta pusat melaksanakan aktiviti-aktiviti ikhtisas dan kurikulum yang berkait rapat dengan keperluan sekolah atau sesuatu kelompok. PKG juga berperanan sebagai sebuah Pusat Sumber bagi menyediakan kedudukan dan perkhidmatan bahan-bahan pendidikan, alat bahan  mengajar serta penghasilan bahan pengajaran-pembelajaran; dan sebagai sebuah pusat sosial bagi meningkatkan proses sosialisasi antara pendidik, pentadbir dan guru melalui aktiviti-aktiviti kebudayaan, kesenian dan majlis gotong-royong. 
Pusat Kegiatan Guru Lawas ditubuhkan pada tahun 1992 dan ditempatkan di Bangunan Wisma Persekutuan Lawas bersama dengan Pejabat Pelajaran Daerah Lawas. Dari masa ke semasa peralatan di PKG Lawas semakin bertambah, ini menyebabkan bilik PKG semakin sempit. Oleh itu Pegawai Pelajaran Daerah telah menyediakan tempat baru untuk PKG beroperasi. Tempat ini adalah bekas sekolah lama yang tidak digunakan lagi tetapi telah diubah suai. Pada awal tahun 2004 PKG Lawas telah berpindah ke tempat baru yang lebih luas dan selesa. Pada ketika itu PKG Lawas beroperasi dengan seorang Pegawai Teknologi Pendidikan iaitu Encik Awangku Mohidin. Pada bulan Mac 2006 baharulah bilangan anggota PKG Lawas bertambah dengan kehadiran Cik Dayang Siti Rullah bte Matsarudin sebagai pembantu tadbir dan operasi N17. Dalam tahun yang sama, pada 28 Julai  PKG Lawas telah menerima Penolong Pegawai Teknologi Pendidikan ( Encik Azman bin Marbawi ).
Bermula tahun 2009, PKG Lawas telah berpindah sekali lagi ke salah sebuah bangunan di kawasan SMK Lawas. Bangunan tersebut telah diubahsuai serta diberi wajah baru untuk pengoperasian PKG Lawas.